Polis percaya seramai 40 orang tenggelam dalam Sungai Mahakam apabila Jambatan Kutai Kartanegara di Kalimantan Timur runtuh dalam kejadian pada hari Sabtu.
Ketua Bahagian Penerangan Umum Polis Indonesia Boy Rafli Amar memberitahu media tempatan Ahad bahawa jumlah itu diperoleh berdasarkan keterangan saksi.
Saksi berkata ada dua bas tenggelam dalam peristiwa itu, namun polis belum dapat memastikan jenis bas dan jumlah penumpang di dalamnya.
Setakat ini, empat orang disahkan meninggal dunia dalam tragedi jambatan gantung runtuh pada kira-kira 4.30 petang waktu tempatan. Semasa kejadian, kenderaan dilaporkan sesak di atas jambatan itu.
Jambatan Kutai Kartanegara yang merentangi Sungai Mahakam, merupakan satu daripada jambatan gantung terpanjang di Indonesia.
Bahagian yang tergantung tanpa penyangga adalah sepanjang kira-kira 270 meter. Jambatan itu berukuran 710 meter panjang.
Jambatan yang dibina pada 1995 itu merupakan antara penghubung penting bagi laluan darat Tenggarong dengan Samarinda dan Balikpapan, Kalimantan Timur.
Gabenor Kalimantan Timur Awang Faroek Ishak berkata sembilan mangsa yang terselamat dirawat di hospital tempatan.
Operasi mencari dan menyelamat mangsa melibatkan pasukan gabungan termasuk Tentera Nasional Indonesia dan Polis Indonesia, Badan SAR Nasional dan Pasukan Penguatkuasa Kerajaan Tempatan.
Operasi menyelamat terganggu oleh arus deras Sungai Mahakam.
- Bernama
No comments:
Post a Comment